Sunday, November 21, 2010

Al Fatihah buat Almarhumah Zaiton binti Login

Terjagaku dari lena pukul 2:00 petang, terus sahaja menunaikan solat Dzuhur. Hati ini semacam ada yang tidak kena. Lapar? Tidak. Masih lagi kenyang. Bosan? Tidak. Tapi ada sesuatu yang tidak kena sahaja dengan diri ini. Selepas menunaikan Solat Asar, terus saja mencapai kunci kereta untuk di basuh di "car wash" berhampiran.

Hampir sahaja waktu Maghrib, tiba - tiba telefonku berbunyi. Lihat sahaja "contact ID" ayah angkatku yang tertera di skrin, terlintas di hati sesuatu yang daku takuti. Selepas memberi salam, terus sahaja dia berkata, "Ika, mak cik dah tak ada, Ka. Pukul 4:00 petang tadi."

Terkejut diri ini dan pelbagai perasaan bersalah di dalam hati menerjah. "Kenapa aku tidak singgah ke Taman Dahlia minggu lepas". Jika aku singgah ke Johor Bahru minggu lepas pasti aku sempat bertemunya.. Namun usai sahaja majlis perkahwinan adik lelakku, terus saja aku pulang ke Kuala Lumpur. Aku perlu bertugas keesokan harinya. Mamaku sudah berpesan, "Akak, jangan ditinggalkan Mak Eton macam arwah nenek, tak lama lagi akan ada yang menjemput."

Ketika ini mutiara di pipiku mengalir deras. Mengapakah kita tidak menghargai insan yang kita sayang sewaktu hayatnya ada?

Teringat pertemuan pertama 13 tahun dulu, ketika itu aku menyertai Festival Silat Rakan Muda. Mak Eton ketika itu menyaksikan anak lelakinya yang menyertai pertandingan. Aku melihat seorang anak comel yang tersenyum - senyum memandangku. Aku memang sukakan kanak - kanak perempuan. Ku bawa kanak - kanak itu ke bilik peserta. Kemudiannya aku diperkenalkan kepada ibunya (Mak cik Zaiton) yang ramah dan ayahnya (Pak Rahman). Keesokannya si comel itu datang lagi memberikan nombor telefon. Semenjak itu hubungan kami menjadi akrab. Sementelah mak cik dan pak cik pernah kehilangan anak perempuan pertama mereka dulu akibat leukimia.

Arwah seorang yang sangat baik dan penyayang, ketika itu aku di asrama sebuah sekolah berasrama penuh, tidak pernah arwah tidak melawatku biarpun kami tiada pertalian darah. Ketika hari lahirku, arwah dan keluarganya datang membawakan sekotak kuih tart telur, curry puff dan macam - macam lagi yang memang disukai oleh rakan - rakanku.  Masih ku ingat lagi, arwah memberikan kepadaku tuala tebal, kasut kulit dan beberapa hadiah hari lahir, milik peribadi beliau ketika hari lahirku yang ke 17 tahun.

Jika cuti sekolah, tidak pernah sekali arwah membenarkan aku menaiki bas untuk pulang ke kampung (jika ahli keluargaku tiada yang menjemput). Arwah dan Pak Rahman juga si comel, Abby pasti akan menghantarku hingga ke laman rumah. Perjalanan bukan dekat. Dari asrama hingga ke rumahku memakan masa hampir 2 jam. Jika aku berada di Johor Bahru, pantang terserempak dengan kereta cabukku, pasti beliau akan menahanku biarpun di tengah jalan! Pernah suatu hari, aku dan suami dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari menghadiri majlis perkahwinan rakan sekolahku, tetiba di selekoh untuk ke arah tol, ada sebuah kereta memintasku. Rupa - rupanya arwah dan keluarganya, perasan kereta burukku itu. 

Namun, apabila sudah berkahwin jarang - jarang aku menjenguk beliau. Namun kad ucapan dan panggilan telefon menjadi pengganti. Tentulah perasan segan itu timbul bila sudah berumahtangga. Tambahan pula apabila mengingatkan kenaifan aku yang suka menyusahkan orang ketika bersekolah dulu. Lebih - lebih lagi arwah dan keluarganya.....

 Ketika di maklumkan arwah terlantar di hospital akibat kanser darah. Aku dan suami sempat menziarahinya. Namun tidak sampai hati untuk berlama - lama di hospital, bimbang tertumpah mutiara - mutiara kasihku. Mengingatkan arwah seorang yang lemah lembut dan penyayang, sempat tadi daku menghadiahkan Solat Hadiah dan Bacaan Yaasin untuk beliau agar urusan akhiratnya di permudahkan Allah. Semoga Arwah Zaiton binti Login digolongkan dalam golongan orang yang beriman di atas kebaikan yang pernah beliau lakukan untukku... Amin..

Benarlah bagai di kata orang, "insan yang baik akan pergi dahulu"...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani....
Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas semulia - mulia makhluk bagi sekalian Nabi dan Rasul, Sayyiduna Muhammad s.a.w dan juga ke atas para ahli keluarganya dan sahabat - sahabat baginda.

Ya Allah cucurilah rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w yang dengannya (salawat), Engkau menyelamatkan kami dari segala huru - hara dan kerosakan, dengannya juga Engkau tunaikan segala hajat kami, Engkau bersihkan kami daripada segala kejahatan, Engkau mengangkat kami kepada setinggi - tinggi darjat di sisiMu dan Engkau menyampaikan kepada kami kepada tujuan yang paling sempurna daripada segala kebaikan semasa hidup kami dan selepas mati. Limpahkanlah juga ke atas keluarganya dan sahabat - sahabatnya dan kesejahteraan yang melimpah ruah ke atas mereka.

Ya Allah! Limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Sayyiduna Muhammad s.a.w pada golongan dulu dan akhir. Dan limpahkanlah rahmat serta kesejahteraan ke atas Saiyyiduna Muhammad s.a.w pada setiap waktu dan masa. Dan limpahkanlah rahmat pada kesejahteraan ke atas yang mulia akhlaknya Sayyiduna Muhammad s.a.w pada golongan malaikat  yang di langit sehingga hari kiamat, dan pada apa yang ada di atasnya dan Engkaulah sebaik - baik Pemberi Rezeki.

Ya Allah! Jadikanlah dan sampaikanlah dan terimalah pahala yang telah dibaca dari Al Quran yang sangat agung. dan apa jua yang telah ditahlilkan dari kalimat Laa ilaaha illallah, dan apa - apa yang juga yang telah kami sebutkan daripadaMu Ya Allah, dan apa - apa yang telah kami selawatkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan juga ke atas ahli keluarganya di saat waktu yang berkat ini. Inilah hadiah daripada kami mudah - mudahan ianya sampai. Dan juga rahmat daripada Engkau yang mencucurinya dan keberkatan yang tinggi. Dan sedekah yang terdahulu telah kami persembahkan ia, dan kami hadiahkan untuk hadrat penghulu kami Sayyiduna Muhammad s.a.w dan juga ke atas ahli keluarganya, dan kemudian hadiah kepada para arwah isteri - isterinya dan keluarganya dan sahabat - sahabatnya dan yang mengikutinya, dan pengikutnya, mereka itu dengan kebaikan hingga ke hari akhirat.
Ya Allah! Jadikanlah pahala seperti pahala - pahala yang demikian itu serta sokongan yang lebih; dan kebajikan Engkau hadiahkan kepada roh - roh mereka yang telah diampunkan di sini disebabkan mereka, dan khasnya kepada roh Almarhumah Zaiton binti Login pada asalnya dan cabang - cabangnya sekalian. Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah, dan maafkanlah arwah ini. Ya Allah! Pindahkanlah mereka itu dari kesempitan kubur dan liang lahad ke syurga Khulud-Mu. Dan jadikanlah kubur mereka itu taman dari taman - taman syurga-Mu. Dan jadikanlah kubur mereka hembusan dari angin - angin syurgamu.

Ya Allah! Turunkanlah rahmat dan nikmat beserta pengampunan dan syafaat ke atas arwah Almarhumah Zaiton binti Login dengan mereka - mereka yang telah Engkau berikan nikmat, yang dari para Nabi, para siddiqin, para syuhada, para solihin dan kebaikan yang diberikan ke atas mereka. Dengan kebaikan rahmatMu wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan mencucuri kesejahteraan ke atas sebaik - baik makhlukNYa, Sayyiduna Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya serta para sahabatnya. Maha Suci Tuhan, Tuhan Yang Maha Mulia dari sifat - sifat rendah (hina), dan cemar yang mereka (orang - orang kafir) anggapkan, begitu juga semoga dicucuri dengan kesejahteraan ke atas segala Rasul yang telah diutuskan oleh Allah. Dan segala puji itu hanya layak bagi Allah Tuhan Sekalian Alam...

Semoga Almarhumah Zaiton binti Login dikurniakan oleh Allah kebaikan sepertimana kebaikan yang pernah dilimpahkannya kepadaku suatu ketika dulu.....Alfatihah...

No comments: