Friday, November 19, 2010

Islamic cooking.... Memasak itu ibadah...

Assalamulaikum,

InsyaAllah, hari ini ahli keluarga terbaruku dan adikku yang baru berkahwin minggu lepas akan bertandang ke teratakku di Kuala Lumpur.  Hadir bersama mamaku dan juga adik bungsuku (nama sahaja bongsu, tapi sudah dewasa (",) ). Menjadi adat dalam keluarga kami, usai sahaja sesuatu majlis perkahwinan, arwah datukku (ayah kepada mamaku) selalu menggalakkan pengantin baru menziarahi saudara mara. Motifnya adalah untuk memperkenalkan sang isteri dengan mak cik pakcik, juga sepupu yang sangat ramai. 

Arghh, projekku untuk menyusun atur susur galur keluarga dari adik beradik arwah datukku dan nenekku sahaja belum selesai. Terlalu ramai. Belum lagi yang berada di Indonesia dan Singapura. Jika sebelah suamiku pula, lagilah ramai, alhamdulillah suamiku dan kakak iparku berjaya membawaku menziarahi semua saudara mara di Utara tanahair ketika Aidilfitri lalu. Itu belum lagi mencari ancestor beliau di Thailand? Tanah Arab? Tak terjangkau olehku. Kagum sungguh diri ini jika kita boleh mencari 5 moyang terdahulu dan menyusunnya dengan baik samada di dalam software tertentu atau buku tertentu. Namun ada seorang rakan yang berusaha bersungguh selama 2 tahun, dan berjaya memperolehi susun galur keluarganya dengan sempurna. Penting sebenarnya untuk kita mengetahui nasab dan keturunan, terutamanya supaya tidak "terkahwin" sesama sepupu. Jika dilihat sebelah papaku pula lagilah ramai. Ayah papaku sendiri salah seorang kerabat di Utara tanahair berkahwin sebanyak 9 kali. Papaku sahaja mempunyai 4 orang isteri (mamaku isteri pertama). Berdoa benar suatu hari diri ini dapat menyusun semuanya dengan sempurna. 

Namun bukan berkenaan kewajipan ziarah atau nasab keturunan yang hendak daku nukilkan di sini. Entri hari ini, InsyaAllah berkenaan bagaimana proses memasak itu boleh dijadikan sebagai salah satu ibadah.

Bonda mamaku adalah seorang nenek yang hebat, bukan sahaja akhlak mulianya. Ada satu sisi lain yang membuatkan beliau sangat hebat di pandanganku ialah kehebatannya memasak. Ketika solat Maghrib semalam daku terkenangkan beliau. Bila sahaja diri ini teringatkan beliau, tutur kata yang sopan (tak pernah dengar arwah nenekku meninggikan suara), masakannya yang sedap, pantas sahaja diri menghadiahkan Alfatihah buat beliau. Airmata ini pun mengalir deras.
Jika kita ingin rezeki kita diluaskan oleh Allah jangan lupa menghadiahkan Alfatihah buat kedua ibu bapa kita usai sahaja solat fardhu.

Kebetulan mamaku menelefon semalam, sedang berkira - kira menu apa yang ingin di masak. Teringat daging sate arwah nenek. Sebenarnya aku tidak makan daging semenjak kecil, jadi untuk menguruskan daging ini agak rumit bagiku.  (Jika hendak mengundangku menghadiri rumah terbuka, sila pastikan ada menu lain selain d.a.g.i.n.g..). Hendak memotongnya sahaja mengambil masa yang lama (sebab ada rakan berpesan, "jangan potong daging mengikut urat, potong uratnya supaya tidak liat"). Sewaktu kecil, diriku alahan terhadap protein. Ini disebabkan mamaku tidak pernah makan daging sejak kecil, justeru juzuk kromosom tertentu dalam genetikku ini mungkin hilang. Terima kasih kepada kursus Genetik yang pernahku ambil sewaktu di Universiti Malaya dahulu. Apabila diri ini menjamah daging, tunggu sahaja 1 atau 2 jam kemudian, pasti akan bengkak keseluruhan badanku kesan tindakbalas protein yang tidak dapat diserap dalam badan bilamana badan ini menterjemahkan protein tersebut sebagai bendasing dari sistem tubuh. Alhamdulillah, selepas berkahwin suamiku telah membawaku berjumpa dengan pakar. Hasilnya aku tidak perlu mengambil antihistamine sekerap dulu. Syukur kepada Allah dan suamiku yang penyayang.

Back to the point, bagaimana ingin membuat masakan sedap? Mudah sahaja pertama kali jangan lupa mengucapkan bismillahirahmannirahim... Di awal proses masakan itu sahaja kita telah memprolehi pahala, kan. 

Untuk merapatkan kasih sayang sesama ahli keluarga terutamanya ketika ada perselisihan faham, ketika memasak bacalah dan berzikirlah dengan Asmaul Husna ke 48 sebanyak 1000X (tak payahlah kira pula, bacalah dengan ikhlas sepanjang proses memasak dengan niat hendak menyuburkan kasih sayang di dalam rumahtangga dengan mengingat Asma' Allah, tiupkan ke atas makanan yang hendak dihidangkan), iaitu, bacalah "Ya Wadud",
yang bermaksud "Allah Yang Maha Kasih dan Penyayang". Allah menyayangi hamba - hambaNya, manusia yang beriman; tahu dan sedar bahawa dirinya dikasihi dan disayangi oleh Allah. Apabila seseorang hamba itu menyayangi Allah, tidak bererti dia tidak boleh menyayangi selain Allah, tetapi tidaklah boleh melebihi dari menyayangi Allah. Kita hanya boleh menyayangi apa - apa yang disayangi oleh Allah Taala sahaja. Apabila dia menyayangi sesuatu sehingga Allah Taala murka, ini bererti dia tidak sayang kepada Allah s.w.t.

Daku gemar menggunakan apa sahaja bahan dengan jumlahnya mesti ganjil. Contohnya 3,5, atau 9 biji bawang kerana daku cuba sentiasa mengingati Allah dalam apa jua yang daku lakukan. Asma' Allah 99 bukan? Dalam sisa - sisa kehidupan ini tiada yang terbaik dari sentiasa mengingati Asma' Allah walaupun dalam masakan. Oh ya, seperkara lagi, jika ingin menambah garam atau gula, gunakan hujung jari   telunjuk dan ibu jari, Allah kurniakan kita tubuh badan yang sihat untuk sentiasa mengingatiNya. Bukankan ketika ketika bertasbih, kita menggunakan jari - jari ini?... Selamat mencuba.


No comments: